Tuesday , 28 April 2015
Terkini
Home » Berita Terkini » Risiko payudara besar
Risiko payudara besar

Risiko payudara besar

Oleh Mohammad Ishak

BESUT: “Wanita yang mempunyai saiz buah dada besar dikenal pasti antara faktor mudah diserang kanser payu dara selain lewat berkahwin,” kata Timbalan Pengarah Kanan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Nik Min Ahmad.

Katanya, dua faktor berkenaan antara punca utama dikenal pasti ramai wanita negara ini mengalami kanser payu dara menyebabkan mereka terpaksa menerima rawatan di hospital pakar.

Menurutnya, selain dua faktor itu, banyak punca lain menyumbang kepada pembawa kanser yang semakin meningkat di kalangan rakyat terutama golongan wanita kini.

Beliau berkata, menurut statistik, kira-kira 800 pesakit kanser mendapatkan rawatan di HUSM setiap tahun dan jumlah itu semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Katanya, masalah utama dihadapi di kalangan pesakit ialah mereka tidak segera datang ke hospital apabila diserang penyakit kanser berkenaan sebaliknya lebih ramai bertemu bomoh.

“Keadaan ini semakin sukar untuk dirawat apabila penyakit yang dikesan semakin parah dan serius,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kehidupan Selepas Kanser di Bukit Keluang Beach Resort, dekat sini kelmarin.

Seminar sehari anjuran Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi HUSM itu disertai 100 peserta yang pernah mengalami penyakit berkenaan dan dirawat di hospital berkenaan.

Nik Min berkata, ramai wanita ingin memiliki buah dada besar tetapi mereka sebenarnya tidak mengetahui bahaya bakal diterima jika gagal mengawal saiz pembesarannya.

Menurutnya, kelewatan wanita berkahwin juga boleh menjadi faktor kepada penyakit kanser payu dara.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menafikan sejak kebelakangan ini semakin ramai wanita mempunyai kesedaran dan tampil mendapatkan rawatan segera sebaik mendapat tahu diri mereka diserang penyakit itu.

“Kanser payu dara sebenarnya mudah dirawat jika pesakit mengetahui lebih awal dan terus mendapat rawatan di hospital.

“HUSM kini mempunyai kepakaran merawat pelbagai jenis penyakit kanser dan ramai pesakit yang mendapat rawatan menunjukkan kesan positif,” katanya.

(Harian Metro, 4 Jun 2011, ms 47, Setempat)

 

4_Jun-Risiko_Payudara_Besar_Harian_Metro

Leave a Reply

Or
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE